PUTRAJAYA: Bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Jahidah Nordin, yang koma akibat dipukul suami, akan diteruskan bagi membantu meringankan beban keluarganya, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Kasih kepada adik mangsa, Fauziah Nordin, di sini hari ini, Aiman Athirah berkata JKM mula menyalurkan bantuan bulanan RM500 kepada keluarga itu sejak Julai lepas.

"Bantuan bulanan ini akan diteruskan termasuk sesi kaunseling kepada keluarga Jahidah. Kita juga akan lihat semula sekiranya ada keperluan menaikkan jumlah bantuan ini. KPWKM juga ambil berat urusan kebajikan Jahidah dan anak lelakinya yang masih kecil," katanya.

BACA: Jahidah selamat lahirkan bayi lelaki

BACA: "Kami berserah pada Allah, apa sahaja yang terbaik buat kakak Jahidah" - Adik

Jahidah, 44, petugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada Mei 2021 selepas dipercayai dicederakan suaminya.

Beliau yang ketika itu hamil enam minggu mengalami kecederaan parah dan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak, disyaki dipukul.

Jahidah yang terlantar koma, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada Nov 2021.

-- BERNAMA